Advertisements
The Latest

Latar Belakang IGP Baru- Datuk Seri Hamid Bador

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamid Bador, yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958, di Kuala Lumpur, adalah anak kepada seorang konstabel polis, Allahyarham Bador Ijoh, yang membesar dalam suasana kerap berpindah-randah.

Beliau bersama sembilan adik-beradik dan ibunya yang juga seorang suri rumah berketurunan Cina, mendiami berek-berek polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur; Balai Polis Serendah (Rawang); Balai Polis Jerantut (Pahang); Balai Polis Tampin (Negeri Sembilan).

Disebabkan tugas bapanya itu, Abdul Hamid terpaksa berpindah sekolah bermula dari Sekolah Rendah Inggeris (Sekolah Rendah Sinaran Budi) di Rawang, Selangor, pada 1965 sebelum menyambung darjah dua di Sekolah Rendah Inggeris, Jerantut Pahang, dari 1966 hingga 1970; Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong, Pahang (1971-1976); Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan pada 1977.

Selepas menamatkan persekolahan, Abdul Hamid kemudian bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dari 1977 sehingga 1979.

Beliau mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman, bermula 1980 hinggalah 1996.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada 2005.

Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, pada 2009.

Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Hamid Bador mula mendapat perhatian pada 2015 apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas DAESH.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menandatangani surat pelantikan Abdul Hamid.

“Ya, saya fikir dialah jadi IGP (Ketua Polis Negara) dan saya rasa YDP Agong sudah tandatangan surat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Abdul Hamid akan menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib, Jumaat ini.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017.

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) serta elemen pengganas Daesh.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published.